Sunday, 2 April 2017

Sahabat Lama Menduga Bersama

Lokasi : Kelong Iwan, Sg. Kembong, Pulau Indah, Pelabuhan Klang
No Contact : Lissa ( 012 - 390 8925 )
FB Page : Kelong iwande' pengkalan kg sg kembong

Kebetulan hujung minggu ni air menyerong besar. Keadaan yang sangat baik untuk mencari penghuni laut. Kali ni, aku tidak keseorangan seperti kebiasaan. Ada teman yang dah lama tidak memancing. Katanya berehat untuk menghilangkan badi. Lebih kurang tambah tolak setahun jugak dia tak menyentuh joran. Bersungguh dia kali ni kerana kesanggupan mengorbankan 1 hari daripada cuti tahunan yang berbaki.

Umpan telahpun ditempah pada pemilik kelong. Destinasi kali ini, Kelong Iwan di Sg. Kembong, Pulau Indah, Pelabuhan Klang. Trip kali ini merupakan kunjungan yang kedua. Kunjungan pertama adalah pada anggaran 6 bulan yang lepas dan dikategorikan sebagai trip hampa sebabnya hasil memang tidak seberapa.

Jam 8.30 pagi kami bergerak ke kelong. Perjalanan menaiki bot cuma 5 minit. Memang boleh dikatakan kedudukan kelong sangat rapat dengan darat. Sampaai-sampai sahaja, segala peralatan pancing disiap siagakan. Mudah-mudahan hari ni Tuhan limpahkan dengan rezeki yang mencurah-curah. Amin.

Ikan pertama, dengan perambut apollo, berjaya mendaratkan ikan belukang anggaran saiz 1kg lebih. Dengan rod yang halus disamping kekuatan perambut apollo yang meragukan, sukar juga mendaratkan ikan belukang tersebut. (Maaf gambar tiada disebabkan kesilapan teknikal). Tapi, boleh lah buat mengubat gian menarik ikan. Ikan tersebut dilepaskan kembali sebab tiada kepakaran memasaknya. Salah teknik masak, memang tak boleh masuk tekak langsung.

Kemudian, keadaan menjadi rancak dengan tarikan ikan. Ada gelama pisang, anak gelama, duri yang menceriakan suasana. Sehinggalah air menjadi surut, tarikan ikan pun berkurang.

Dalam keadaan air mula balas pasang, jorang kawanku disentap. Dari jauh, kelihatan seekor ikan yang agak besar saiznya, melompat ke udara bagi meloloskan diri. Dengan cermat danpenuh teliti, kawanku mengarau mesin kekili. Apabila sudah hampir, kelihatan seekor ikan senangin dalam anggaran saiz 2kg sedang cuba melepaskan diri. Nasib tidak menyebelahi dan mungkin bukan tertulis sebagai rezeki, ikan tersebut terlucut depan mata. Aaaarrrrggghhhhh......kecewanya.

30 minit juga ambil masa mengubat hati menyakinkan diri dengan hakikat segala rezeki milik Tuhan bukan ditentukan makhluk. " Walau genggamannya kuat, tapi bukan milik kita, pasti terlepas jua" , teringat pula pada lirik lagu.

Seterusnya, arus mula berdentum laju menyukarkan aktiviti memancing kami. Namun, kehampaan kami diubat juga dengan tangkapan seekor anak senangin dalam anggaran 100 g sebagai bekalan lauk.

Insya Allah, lain kali kami datang lagi. Hilang jugak badi kumpau kawanku itu.

Suka pun kena syukur, duka lagilah kena syukur.