Tuesday, 8 March 2016

Kembaraku Di Nanggroe Acheh Darussalam

Nanggroe Acheh Darussalam.


Negeri jauh di hujung utara tanah Indonesia dalam kepulauan Sumatera. Acheh pernah menggegar dunia dengan bencana tsunami 11 tahun dahulu yang mengorbankan beribu-ribu nyawa. Sehinggakan geografi yang dahulu sudah sedikit berubah dengan apa yang terdapat pada hari ini.

Ini adalah perjalanan keduaku ke luar negara selain pengembaraan umrah 2 tahun yang lepas. Kembara bajet secara bagpacking dek bajet yang tidak seberapa mengizinkan untuk bermewah-mewah.

 Inilah Acheh di dalam peta.


Hujung Utara Indonesia


KLIA 2 VS Lapangan Terbang Sultan Iskandar Muda

Berbeza skali. Mungkin pada status lapangan terbang. Namun, firasatku, Lapangan Sultan Abdul Halim Shah, Kepala Batas , Kedah jauh lebih gah dan sibuk. Mujur urusan imigresen berjalan lancar tidak seperti trip tanpa rancang ke Betong, Thailand gagal 2 minggu lalu akibat tarikh luput passport tidak sampai 6 bulan. Titik permulaan kembaraku di bumi orang bermula.

Ramai juga warga Malaysia yang menuju ke destinasi yang sama. Dari pandangan atas angin, daratan Acheh kelihatan seumpama Negeri Jelapang Padi dengan kehijauan petak-petak sawah. Diserikan dengan kebiruan air laut yang pastinya memukau dan menyejukkan mata yang memandang.


Lapangan Terbang Sultan Iskandar Muda

Agak ramai orang yang menaiki kapal terbang yang sama. Kelihatan beberapa orang Malaysia turut serta tetapi kebanyakannya warga Indonesia yang kemungkinan ingin pulang ke kampung halaman. Kalau perasan, warga Indonesia jika berada dalam kelompok yang besar dan ramai, mereka akan begitu riuh bersembang sesama mereka. Itu menjadi tanda kemesraan mereka sebagai pengembara di tempat orang. Menarik untuk dikaji kerana kita dan mereka adalah serumpun cuma dibezakan oleh sempadan geografi.

Pelabuhan Ulee Lheu

Perjalanan 30 minit menaiki servis teksi lapangan terus ke pelabuhan. Lebih mudah kerana perjalanan tidak melalui bandar Aceh yang agak sibuk. Berhampiran dengan pelabuhan, pengunjung berpeluang melihat kebiruan lautan di bahagian pantai. Biru yang sebirunya berbeza dengan lautan di selat melaka. Cantik memang cantik tetapi amat bahaya untuk dijadikan kawasan mandian kerana ombaknya yang menderu deras dan lautnya yang agak dalam walaupun di bahagian pantai. Di pelabuhan, walaupun nampak usang dan kurang terurus, mungkin perlu diberi pujian ialah pihak pengurusan masih menyediakan servis internet tanpa wayar(wifi) percuma. Peluang yang menarik untuk dimanfaatkan oleh pengunjung luar negara sepertiku. 

Nasib yang baik pada tanggal Maulidur Rasul, aku masih berpeluang memiliki tiket feri ke Pulau Weh. Pada saat sampai di pelabuhan pun, kaunter tiketnya sudah tutup, diulang arahan untuk beli pada hari berikutnya. Mujur masih ada insan budiman dengan panggilan Putera sudi membantu. Tiket didapatkan pada saat feri ingin berlepas walaupun tanpa tempat duduk khas. Tidak mengapa. Peluang duduk di bahagian atas feri lebih menarik perhatian kerana penumpang berpeluang melihat keindahan lautan pada saat mentari ingin terbenam. Peluang yang pastinya tidak boleh dilepaskan.


Pantai berhampiran pelabuhan


Pelabuhan Ule Lheu


Perkhidmatan Wifi di pelabuhan...unik



Pemandangan Laut di waktu senja


Pulau Weh

Saat feri berlabuh, waktu sudah agak lewat. Sudah senja.Maka, kuranglah kelihatan kelibat kenderaan sewa atau supir mencari penumpang. Dijadikan cerita bertemu aku dengan seorang supir dengan becanya menawarkan servis pengangkutan ke pekan Sabang. Anggaran perjalanan selama 15 minit serta tambang sebanyak 30,000 rupiah setiap seorang.tiada pilihan lain kerana kebetulan kedatangan dirancang pada tarikh Pulau Weh kesibukan menerima pengunjung luar pulau. Maka, bila tiba di Pekan Sabang juga sudah sukar mencari penginapan. Penuh kesemuanya dengan pengunjung. 4 hingga 5 tempat ditanya namun responnya negatif. Sehingga ditawarkan sebuah bilik di rumah seseorang yang dikenali sebagai Kak Sally(seorang lelaki) dengan harga 200,000 rupiah. Bayaran yang tidak setimpal namun sebab sudah malam, terpaksa dipersetujui jua. Yang mendukacitakan, yang pertama supir itu enggan melepaskan kami untuk berinisiatif sendiri mencari bilik sewaan, gayanya seakan memaksa dan keduanya jika dirujuk pada tuan empunya rumah, beliau sudah biasa menumpangkan orang di rumahnya tanpa bayaran. Adakah ini percubaan pertama kami ditipu? Moga si supir ikhlas membantu. Namun tidak aku hairankan kerana Kak Sally itu baik orangnya. Peramah dan diizinkannya kami meronda pulau dengan motosikal skuternya. Dikemaskan kamar tidur yang disewakan sebaik mungkin agar kami selesa. Terima kasih tidak terhingga. Pengajaran pertama, jangan hanya menilai manusia dengan zahir dan penampilan.

Di Pulau Weh, ada banyak juga lokasi menarik untuk dilawati. Pulau ini tidaklah semoden Pulau Langkawi, Kedah, namun ia menyajikan pandangan air laut yang menggoda setiap mata yang memandang. Air yang bersih dan jernih dengan peluang menghayati kecantikan batu karang yang terpaku jauh di dasar menarik pandangan mata.

Pengunjung juga berpeluang berada di titik paling hujung di tanah Indonesia iaitu Titik Kilometer Nol. Perjalanan ke sana agak jauh dari pekan Sabang di samping keadaan jalan yang agak merbahaya dek laluan yang sempit di kawasan tinggi. Mungkin perlu dilaksanakan pelebaran jalan pada masa hadapan. Jika berkeinginan untuk snorkeling atau mandi pantai, boleh berkunjung ke Pantai Sumur Tiga atau Pantai Iboih. pasti memberikan kepuasan. Hampa sedikit buat aku kerana terlanjur mengirim tiket pulang kepada supir semalam. Kesannya, rencana pusing-pusing pulau terpaksa dipendekkan sedangkan masih banyak lokasi belum dilawati. Lebih mengecewakan, kami dimaklumkan bahawa tiket ferinya sudah dibeli sedangkan hakikatnya baru ditempah di jeti. Kekecewaan kedua.pasti ada hikmah yang tersembunyi. Perlu diulang kembara ke sini supaya semuanya bisa dilawati.


 Terminal feri Pulau Sabang


 Suasana lokasi tempat menginap di Pulau Sabang. Area rumah Kak Sally


 Kejernihan air di Pulau Sabang


 Pantai yang menenangkan jiwa


 Tugu I Love Sabang


 One of the beautiful scenery there...wow!!!


 Tugu Kilometer Nol (0)


Salah satu pantai di Pulau Sabang

Kembali ke Banda Acheh

Setibanya di Pelabuhan Ulee Lheu, kami terus membuat tempahan hotel melalui internet agar tragedi menumpang di rumah orang tidak berulang. Serik dan rasa kurang selesa walaupun tuan rumah mesra dan menerima kedatangan kami sebaiknya. Bluecoral hotel, hotel murah yang sesuai dengan bajet perjalanan. Cuma kurang memuaskan kerana hanya ada satu soket untuk menghidupkan kipas dan mengecas telefon. Bilik pula agak panas kerana rekaannya yang seakan-akan sebuah kotak yang besar. Supir dari lapangan terbang yang sama membawa kami dari pelabuhan ke hotel. Ditawarkan kepada kami servis pengangkutan bersiar-siar ke lokasi menarik sekitar banda acheh. Harganya 600,000, dan ditambahnya lagi perjalanan selama satu hari, kerana turut melibatkan perjalanan ke Loknga, tempat utama bagi menyambut Hari Tsunami. Kami setuju kerana mudah kira. Lagipun, kami merasakan ianya berbaloi memandangkan perjalanan panjang.

Esoknya, Hari Tsunami, kami dibawa ke lokasi- lokasi menarik sekitar Acheh.






Suasana pagi di Bandar Aceh




Kapal di atas rumah

.Tingginya air semasa tsunami sehingga sebuah kapal nelayan boleh terdampar di atas bumbung sebuah rumah. Kapal itu dicat dan dijadikan kawasan tumpuan buat pengunjung melihat dan menggambarkan kedahsyatan tsunami 11 tahun dahulu. Namun, keberadaan kami di sana hanya sebentar kerana hari itu adalah hari tsunami, hari berduka buat seluruh orang Acheh. Pagi-pagi, orang ramai akan berkumpul di masjid sambil beribadah bagi memperingati kedukaan bencana tsunami. Amalan yang baik agar kita sentiasa beringat akan kebesaran Tuhan.


Kapal JMTD

Di lokasi ini, pengunjung dapat melihat sebuah kapal seberat 4.2 tan boleh terhanyut sepanjang 10km bagi menggambarkan kederasan pukulan tsunami. Saiz kapal memang agak besar. Namun, hampa lagi buat kami kerana lokasi ini ditutup seharian kerana menghormati 26 Disember sebagai Hari Tsunami. Nasib baik pagarnya adalah pagar jaring, kami masih sempat melihat kapalnya dari jauh. Terdapat juga pengunjung yang bernasib malang seperti kami dihampakan dengan hakikat lokasi ini ditutup.



Muzium Tsunami

Nasib menyebelahi kami kali ini. Muzium dibuka tanpa sebarang bayaran dikenakan. Muzium ini lebihnya pada paparan semasa bencana melanda, misi penyelamatan, keadaan geografi. Ada sudut khas dilekatkan nama-nama orang yang terkorban semasa bencana. Muzium ini baik pembinaannya kerana di sini orang asing menjadi lebih mudah faham akan peristiwa tsunami. Pengunjung turut berpeluang menonton wayang ringkas berkaitan kejadian tsunami. Tragedi dahsyat yang mengingatkan hamba akan hakikat kebesaran-Nya.
Seharusnya perjalanan diteruskan ke Loknga bagi melihat sambutan Hari Tsunami besar-besaran, tetapi supir enggan dengan alasan laluan ke sana sesak kerana acaranya agak gilang-gemilang dengan kehadiran Presiden Indonesia, Jokowi Widodo. Kami masih merayu akan perjalanan ke sana masih diteruskan. Supir seakan setuju tetapi akan bertolak selepas waktu zohor. Makanya, kami mengambil peluang menziarahi Masjid Ibadurrahman.





Masjid Bandar Aceh

Masjid utama di acheh. Cantik dan tersergam indah serta menjadi lambang kemegahan aceh. Tapi, sayangnya masjid berada dalam proses pembinaan. Khabarnya, di sekitar masjid akan dibina payung gergasi seperti yang terdapat di Masjid An- Nabawi Madinah. Pastinya lebih menambahkan keindahan masjid selepas ini. Menurut cerita supir, semasa tsunami, air naik setinggi lantai kedua bangunan kedai di kawasan luar masjid sedangkan dengan kuasa Tuhan, masjid langsung tidak dimasuki air. Kekuasaan Tuhan yang menambah pening buat yang tidak beriman namun meneguhkan lagi keyakinan mukmin kepada keagungan Tuhan.





Selesai solat, berita duka menyambut kami. Supir enggan ke loknga. Dengan alasan yang masih sama iaitu laluan sesak. Dibawanya kami langsung ke Hotel Palembang. Hotelnya lebih selesa berbanding yang semalam pada kadar harga yang lebih rendah. Kelebihan hotel palembang ialah ia berada di tengah-tengah ibu kota aceh. Mudah untuk meninjau barang-barang cenderahati untuk dibawa pulang serta merasa pelbagai makanan enak yang terjual.

Paling memeranjatkan kami, bilamana supir membuka bonet kereta, sudah nampak beberapa beg kepunyaan pelancong lain dalamkereta. Patutlah supir begitu enggan untuk ke Loknga. Janji dalam janji. Apa boleh dibuat. Lebih menyakitkan hati, bayaran masih dikekalkan pada harga sama 600,000 rupiah. Rugi dan berduka menjadi kesimpulan hari ini. Ku sangkakan kopiah itu syarat keikhlasan membantu, rupanya ia sekadar wayang peragaan diri. So, jalan-jalan sendiri saja.

menu makanan tengah hari di bandar aceh. sedap dan mengancam...nyum.nyum!!!

Malam dan pagi keesokan harinya, kami meninjau-ninjau gerai di sekitar bandar acheh untuk dibelikan cenderamata atau cenderahati sebagai penghargaan dan kenangan. Banyak juga kedai yang disinggah. Cuma secara am, Acheh terkenal dengan keunikkannya pada beberapa benda :


A) Batik - cantik, murah, banyak pilihan
B) kopi - sedap, kaw, murah




Bas ke Medan

Plan di Acheh sudah tamat. Tiba masa pulang ke Malaysia. Seperti rancangan asal, kami akan menaiki bas ke medan. Bas dijangka mengambil masa perjalanan selama hampir 1 hari. Perjalanan memang jauh. Boleh rujuk pada peta dibawah:


Perjalanan pada waktu siang menyajikan pemandangan pergunungan yang indah. Hijau dan segar mata memandang. Jam 3 petang bertolak dari acheh dan tiba di medan pada jam 7 pagi. 16 jam perjalanan. Sungguh memenatkan dengan kebocoran pada atap bas menyebabkan aku kebasahan. Malang tak berbau. Nasib baik disediakan selimut, boleh lah dipakai untuk berlindung daripada kebasahan.

Medan

Bandar medan lebih maju berbanding Aceh.Kalau dikira kemajuan, boleh dikatakan hampir sama dengan bandaraya Kuala Lumpur. Keretapi, restoran makanan segera, bangunan pejabat, pasaraya dan sebagainya yang mencengkam langit menjadi simbolik kemajuan medan.

Rencana asal gagal iaitu untuk menaiki kereta api menuju ke Tanjung Balai Asahan kerana sudah kehabisan tiket. Plan B, flight tetapi agak mahal. Tibalah pada plan C, menaiki van.
Beca dihentikan dan kami dibawa ke tempat menunggu van. Tetapi, lokasi yang dituju bukanlah yang lokasi yang sepatutnya. Terdapat banyak van tetapi semuanya adalah van transit ke terminal Amplus. Kami ditipu oleh beberapa anak muda yang meyakinkan kami terdapat tiket menuju ke Tanjung Balai Asahan. Kami dibawa naik sebuah van dan masih dalam lokasi sama, kami diperas ugut. Melayanglah 200,000 rupiah termasuk 60,000 rupiah yang dibayar sebelumnya sebagai duit tiket. Titik hitam di tanah orang. Kafarah dosa barangkali.

Kami dibawa ke Terminal Amplus. Disitu, kami membeli tiket ke Tanjung Balai Asahan. Perjalanan menaiki van yang agak kecik dan menyesakkan sangat memeritkan. Tapi, syukur selamat sampai ke destinasi yang ingin dituju. Kini, hanya laut Selat Melaka yang memisahkan kami dengan Malaysia.

Tanjung Balai Asahan

Tanjung Balai Asahan berada bertentangan dengan Pelabuhan Klang. Kami segera mencari tiket feri ke Pelabuhan Klang dan seterusnya mencaru penginapan. Malam akhir ini, kami raikannya dengan penginapan yang lebih selesa. Makanan yang dijumpa juga lebih membuka selera. Walaupun makanan ruji masih sama, namun selera rakyat Indonesia ternyata berbeza. Rehat yang panjang sementara menanti saat untuk pulang.


Malaysia, Welcome Back

Pagi2 lagi kami sudah berkemas dan bersiap untuk pulang. Kami segera menunggu di pejabat penjualan tiket dan seterusnya akan dibawa ke pelabuhan Tanjung Balai Asahan. Pelabuhan yang kecil. Kelihatan begitu ramai warga Indonesia memenuhi ruang menunggu dan hanya terdapat beberapa warga Malaysia yang turut menggunakan khidmat feri yang sama. Perjalanan selama 6 jam cukup mententeramkan jiwa melihat lautan luas Selat Melaka. Dalam jam 6 ptg, kami selamat tiba ke tanah air tercinta, Malaysia.
Tamatlah pengembaraanku ke tanah Nanggroe Acheh Darussalam.




Friday, 4 March 2016

Trip Kedua Port Klang [ Kilang Oriental ]

Disebabkan percubaan pertama tidak berapa memuaskan hati, aku menghubungi Abg Halim untuk menduga port kilang oriental sekali lagi. Air diikutkan merupakan air pasang mati. Platform 1 yang menjadi tarikan ramai tidak memberikan sebagai tarikan yang menggalakkan. Hanya seekor anak kerapu sudi menyentuh umpan.


Anak Ikan Kerapu

Kami beralih tempat ke atas pontoon. Gelama pertama mencuri umpan dan mengena mata kail. Tarikan ikan semakin menggalakkan. Pancing disentap si senangin dan tetanda. Puas hati melayan senangin. Bila langit dah semakin gelap, keaktifan ikan semakin menurun.


Ikan Senangin, Ikan Tetanda dan Ikan Gelama

Namun, tiba-tiba, satu joran yang dibiarkan untuk dikemas paling akhir disentap kuat. Tarik punya tarik, didaratkan seekor ikan belukang. Beza belukang dan duri pada saiz kepala yang lebih besar serta ekor yang berbelang-belang. Besar juga belukang yang dibawa naik. Anggaran 1kg ke atas.


Ikan Belukang ( anggaran 1 kg)

Trip kedua yang berjaya. Sekian.

Port Klang Trip 1 [ Kilang Oriental ]


Sepatutnya ini dianggap sebagai Trip Kedua memandangkan hujung minggu lepas, kami sudah ke Pantai Acheh menduga nasib. Tapi, aku anggap ianya hanya pra-percubaan memandangkan tempoh memancing yang singkat disamping misi untuk mencari port yang terbaik bagi mengasah bakat memancing di laut.

Sejujurnya, aku lebih gemar ke lombong kerana memancing di lombong lebih mudah dan murah. Tidak perlu kaji pasang surut air dan menyediakan kelengkapan dan umpan yang pelbagai. Cukup dedak atau roti digaul dengan pewangi.

Namun, ajakan kawan serta kepastian seorang teman baru, Abang Halim, aku mencuba nasib memancing laut. Janjinya jam 1.00 ptg berjumpa di  laluan Terminal Starcruise. Tapi jam 2.00 ptg baru muncul. Dimaklumkan ada urusan penting.tidak mengapa. Yang penting, janji untuk bertemu ditepati.

Kami dibawa ke kawasan sebuah kilang. Kilang tersebut berdekatan dengan TH Heavy Engineering. Nama kilangnya ialah Kilang Oriental( sebuah kilang papan). Port di sini agak menarik untuk dicuba. Muara sungai yang agak kecil kelebarannya. Yang lebih penting, ianya tidak terlalu dilanda ombak menyebabkan memancing di sini lebih tenang.


Lokasi Kilang berdasarkan google maps

Trip pertama tidak mendatangkan hasil lumayan. Hanya ikan gelama(glamer) yang sudi menjamah umpan beserta ikan mayong(spesis duri tapi lebih sedap). Kerana disangka mayong sama seperti duri, maka aku memberi ikan itu kepada warga asing yang datang melihat kami memancing.


Ikan Mayong

Pengalaman pertama yang mengujakan. Disimpan dalam katalog. Kalau ada kelapangan masa, akan diduga lagi port ini.