Wednesday, 26 February 2020

Rezeki Pemberian Tuhan

Assalamualaikum dan Salam sejahtera.

Entry kali ini, aku sahaja ingin sembang santai berdasarkan pemerhatian aku sepanjang terlibat dengan dunia seorang pemancing. Nak kata tegar, dulu2 semasa bujang, kerap la menenangkan jiwa di tebing2 lombong atau tebing2 muara. Melayan keseronokan dan keasyikkan memancing sang anak ikan.

Aku yakin dan tersangat percaya, hampir semua pemancing yakin bahawa rezeki memancing adalah pemberian Tuhan. Tidak ada pemancing yang berupaya menentukan bilangan dan jenis ikan yang dapat dipancing. Hakikatnya, kita sebagai pemancing hanya berikhtiar dengan menyediakan umpan dan peralatan yang terbaik, namun Tuhan jualah yang menentukan hasil yang akan diperoleh. Kadang2 rezeki banyak, kadang2 rezekinya sikit.

Namun, dalam pada kepercayaan ini, yang menjadi sedikit ralat adalah ramai pemancing yang lupa rukuk dan sujud semasa menjalankan aktiviti memancing. Tua atau muda seakan sama sahaja. Yang ditekankan bukannya solat sunat namun solat fardhu lima waktu sehari.

Waktu2 solat kadang2 dilihat dibiarkan berlalu begitu sahaja tanpa ada riak wajah bersalah meninggalkan tanggungjawab yang penting ini. Khusyuk atau kurang selesa untuk beribadah bukan menjadi penghalang besar. Yang menjadi keutamaan adalah pada mendirikan solat tersebut. Risau2 nanti kita tak sempat qada' kembali solat tersebut bilamana sampai di darat.

Hasrat dan hajat kita menginginkan rezeki yang murah dan diberkati perlu seiring dengan tindakan kita selaku hamba kepada-Nya.

Baru2 ini, aku juga kaget melihat rakaman video memancing di Youtube yang membawa trip pemancing pada hari Jumaat. Trip yang berterusan daripada pagi sampai ke petang. Persoalan yang timbul, adakah pemancing2 ni pergi menghadirkan diri ke masjid bagi menunaikan fardhu jumaat dengan menaiki bot? Jika ya, alhamdulillah. Jika tidak, bawalah istighfar dan mohon ampun daripada Tuhan akan kekhilafan dan kelalaian diri mengejar habuan duniawi.

Sewajibnya tiada langsung trip memancing pada hari Jumaat yang mulia buat semua pemancing Muslim. Pernah terjadi kisah di mana zaman Bani Israel dahulu ada sekumpulan umat manusia yang ditukarkan Tuhan menjadi kera atas keingkaran mereka menghormati hari mulia iaitu hari Sabtu.

Kisah seperti itu sepatutnya menjadi pengajaran penting buat kita umat manusia dalam menjadi hamba yang menunaikan tanggungjawab sebagai seorang Muslim. Semoga kita sentiasa beroleh rezeki yang berkat. Amin.

Boleh refer panduan untuk solat di atas sampan/bot oleh Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.



No comments:

Post a Comment