Monday, 31 July 2017

Kilang Simen (berseberang dengan Jeti Starcruise)

Lokasi memang cantik disebabkan pertemuan sungai. cuma kawasan yang berdekatan, paras air cetek. kene balik jauh.

kawasan tepi ada merupakan kawasan berbatu. boleh cari tetanda.

namun, kawasan ni susah nak masuk, boleh masuk naik moto sahaja & seingatnya dah jadi kawasan larangan.







Marina Pulau Indah

Memancing di kawasan berbatu tepi jeti









Kilang Oriental (Berhampiran Jeti Starcruise, Klang)

Mancing atas pontoon atau jeti















Langkawi , Memancing Sambil Melancong

Alhamdulillah, kesempatan Tuhan beri bilamana kita berkawan, dapatlah ambil sedikit kelebihan pada kawan untuk merasai cuti di villa mewah. Kali ni, memang betul-betul trip bajet dan bujang. Tempoh 3 hari 2 malam sudah mencukupi mengisi masa mengeratkan ikatan persahabatan sesama sekumpulan kawan. Nak kata rapat sangat, tidak juga tetapi boleh menjadi tempat berkongsi suka dan duka.

Kesempatan ini aku manfaatkan untuk mencuba lokasi memancing dulu di Telaga Harbour, kawasan parking bot yang terkenal di Pulau Langkawi. Pernah aku mencuba nasib di situ  sebelum ini, namun hambar. Dibadai ribut yang berterusan sehingga lewat malam dan disapa anak gelama sebagai lesen semata.

Namun, kali ini lebih menggalakkan dengan ragutan ikan yang tidak henti. Ikan kecil tetapi cukup membantu melepaskan gian di hati.

Dalam keseronokan tersebut,aku dan rakan terlintas dengan kehadiran seekor ikan kerapu yang berehat berhampiran kawasan berbatu dalam anggaran saiz 1kg. Kami mencuba menghulur umpan namun tidak mampu menggoda.

Bersyukur.


Inilah ikan yang begitu galak meragut umpan.

Sunday, 2 April 2017

Sahabat Lama Menduga Bersama

Lokasi : Kelong Iwan, Sg. Kembong, Pulau Indah, Pelabuhan Klang
No Contact : Lissa ( 012 - 390 8925 )
FB Page : Kelong iwande' pengkalan kg sg kembong

Kebetulan hujung minggu ni air menyerong besar. Keadaan yang sangat baik untuk mencari penghuni laut. Kali ni, aku tidak keseorangan seperti kebiasaan. Ada teman yang dah lama tidak memancing. Katanya berehat untuk menghilangkan badi. Lebih kurang tambah tolak setahun jugak dia tak menyentuh joran. Bersungguh dia kali ni kerana kesanggupan mengorbankan 1 hari daripada cuti tahunan yang berbaki.

Umpan telahpun ditempah pada pemilik kelong. Destinasi kali ini, Kelong Iwan di Sg. Kembong, Pulau Indah, Pelabuhan Klang. Trip kali ini merupakan kunjungan yang kedua. Kunjungan pertama adalah pada anggaran 6 bulan yang lepas dan dikategorikan sebagai trip hampa sebabnya hasil memang tidak seberapa.

Jam 8.30 pagi kami bergerak ke kelong. Perjalanan menaiki bot cuma 5 minit. Memang boleh dikatakan kedudukan kelong sangat rapat dengan darat. Sampaai-sampai sahaja, segala peralatan pancing disiap siagakan. Mudah-mudahan hari ni Tuhan limpahkan dengan rezeki yang mencurah-curah. Amin.

Ikan pertama, dengan perambut apollo, berjaya mendaratkan ikan belukang anggaran saiz 1kg lebih. Dengan rod yang halus disamping kekuatan perambut apollo yang meragukan, sukar juga mendaratkan ikan belukang tersebut. (Maaf gambar tiada disebabkan kesilapan teknikal). Tapi, boleh lah buat mengubat gian menarik ikan. Ikan tersebut dilepaskan kembali sebab tiada kepakaran memasaknya. Salah teknik masak, memang tak boleh masuk tekak langsung.

Kemudian, keadaan menjadi rancak dengan tarikan ikan. Ada gelama pisang, anak gelama, duri yang menceriakan suasana. Sehinggalah air menjadi surut, tarikan ikan pun berkurang.

Dalam keadaan air mula balas pasang, jorang kawanku disentap. Dari jauh, kelihatan seekor ikan yang agak besar saiznya, melompat ke udara bagi meloloskan diri. Dengan cermat danpenuh teliti, kawanku mengarau mesin kekili. Apabila sudah hampir, kelihatan seekor ikan senangin dalam anggaran saiz 2kg sedang cuba melepaskan diri. Nasib tidak menyebelahi dan mungkin bukan tertulis sebagai rezeki, ikan tersebut terlucut depan mata. Aaaarrrrggghhhhh......kecewanya.

30 minit juga ambil masa mengubat hati menyakinkan diri dengan hakikat segala rezeki milik Tuhan bukan ditentukan makhluk. " Walau genggamannya kuat, tapi bukan milik kita, pasti terlepas jua" , teringat pula pada lirik lagu.

Seterusnya, arus mula berdentum laju menyukarkan aktiviti memancing kami. Namun, kehampaan kami diubat juga dengan tangkapan seekor anak senangin dalam anggaran 100 g sebagai bekalan lauk.

Insya Allah, lain kali kami datang lagi. Hilang jugak badi kumpau kawanku itu.

Suka pun kena syukur, duka lagilah kena syukur.





Tuesday, 14 March 2017

Pengalaman Mancing Air Tawar

Dulu-dulu sempat juga aku menduga tasik atau lombong bagi mencari rezeki atau lauk harian. Ada yang besar, ada yang kecil , ada yang terlepas termasuk juga satu set rod dan mesin reel ditelan lombong. Suka dan duka pengalaman memancing di air tawar begitu mengujakan.


Lokasi : Empangan Bersia, Gerik, Perak
Umpan : Anak keli
Toman anggaran 2kg berjaya didaratkan setelah beberapa trip diaturkan. Garang betul toman ni. Saat makan umpan, berdesing bunyi drag mesin reel. Kebetulan, trip dirancang waktu cuti tahun baru cina. Angpow !!!



Lokasi : Lombong Amanjaya, Belakang Akademi Belia Batu Gajah
Umpan : Dedak ayam kuning perisa pisang.

Lombong yang luas, cumanya rezeki menarik yang besar hanya beberapa ekor anak ikan rohu.Selebihnya, gangguan askar ikan tilapia belang, tenggelam timbul pelampung dibuatnya.



Lokasi : Lombong Kg Pisang, selepas flyover
Umpan : Dedak ayam kuning perisa pisang.

Lombong luas dan dalam. paling menyeksakan ialah tiada tempat berteduh melainkan bumbung kereta. Alhamdulillah, rezeki ikan rohu anggaran 1kg buat bekalan. Masa tarik beratnya macam tarik kayu. Diingatkan sangkut, rupanya rezeki ikan.


Lokasi : Lombong Pusing, Batu Gajah, dekat taman perumahan
Umpan : Dedak ayam kuning perisa pisang.

Tempat okay, siap boleh bermalam lagi. Pengalaman lucu, bilamana ikan rohu (gambar sebelah kanan) makan dan terus menerjunkan joran ke dalam lombong. Secara spontan, tuan punya joran pun terjun sama untuk menyelamatkan joran. Alhamdulillah, joran dapat balik, ikan pun dapat buat lauk.




Lokasi : Lombong Tanjung Tualang
Umpan : Dedak ayam kuning perisa pisang.

Rekod kat lombong ni, ada pemancing menaikkan ikan patin seberat 24 kg. Memang boleh dipercayai sebab kelibat patin kerap muncul di permukaan air. cumanya, rezeki daripada Tuhan mengurniakan ikan jelawat 500 g ni menjelang maghrib. Sebelum daripada itu, membangau lah kami di tepi lombong.



Lokasi : Lombong Patin depan UTP
Umpan : Dedak 905 perisa pandan

Lombong ni antara yang lombong yang paling cantik sebab di hujung lombong bercantum dengan sungai. Air lombong boleh dikatakan bersih, ikan pun tak berbau. Banyak kali dah trip kebanyakkannya kumpau. Namun, Alhamdulillah kali ini rezeki Tuhan. 3 ekor anak patin  bakal jadi lauk.



Lokasi : Kolam D' Heritage, Ulu Yam
Umpan : Roti gardenia dengan perisa pisang

Sabar itu sunnah pemancing. Lama jugak menunggu, tambahan ini cuma percubaan semata-mata tanpa kesungguhan. Sambil-sambil je memancing. Alhamdulillah, dapat jugak peluang menarik ikan patin 2kg. Kolam pun jadilah.


Sekian, coretan.
Dah stop memancing di lombong sebab tak jumpa lombong yang best area KL/Selangor lagi.

Gambar lama dengan seekor anak jelawat. lokasi lombong astro tg. tualang




Monday, 12 September 2016

Kelong Nazri Bagan Lalang
RM 50/ 12 jam
En Nazri :

Tempat naik : jeti di pantai bagan lalang( berhampiran pasar basah)

Demi meraikan kepulangan kawan dari Jogjakarta, Indonesia, aku merancang kali ini ingin menduga nasib di Kelong Bagan Lalang. Sebelum ini, sudah 2-3 kali menghubungi tuan kelong bagi menanyakan kelapangan kelong untuk ditempah. Kali ini, aku tekad agar ianya menjadi realiti. Umpan udang hidup semurah RM 0.40 dan RM 0.50 seekor boleh dibeli di pekan Sungai Pelek. Nama kedai , Wei Ann Trading berhampiran BSN Sungai Pelek. Kedai kecil sahaja.

Jam 6 ptg, kami tiba di jeti. En Nazri telahpun bersedia menunggu ketibaan kami kerana awalnya janji untuk naik jam 5 petang. Tapi terpaksa ditangguh atas urusan kerja sebelum itu.

Air sudah surut semasa kami tiba.Kami dibawa ke kelong menaiki bot. Tuan kelong agak ramah berbual bersama kami. Dimaklumkan 2-3 hari lepas, ada pemancing yang beroleh anak-anak tenggiri buat bekal bulan puasa. Perjalanan dari jeti ke kelong mengambil masa selama 10 minit. Cantik pemandangan di senja hari.

Sesampai sahaja di kelong, kami terus menyiapkan pancingan apollo bagi mencari umpan ikan hidup. Ikan favourite, ikan tamban hidup. Alhamdulillah rezeki dapatlah dinaikkan tamban hidup dan selar hidup. Kawan ak melompat dek kejayaan menaikkan anak tenggiri. Halus tapi namanya tenggiri tetap menghiburkan hati.

Malam menjelma, baru kami meneruskan aktiviti pancingan bottom atau dasar. Ikan pertama strike ikan gelama dalam anggaran berat 500 gram. Mengujakan bagi permulaan. Seterusnya ikan gelama kecil menggunakan perambut apollo berumpan. Namun, selepas itu kami berduka cita. Tiada sebarang ragutan ikan yang mengasyikkan.

Sehingga jam 4 pagi, kawanku menjerit ikan siakap meragut umpan. Namun hampa kerana ikan berjaya lari ke bawah kelong. Ahhhh....melepas. Baru hajatnya melihat siakap tunggal untuk dinaikkan.kami tertido sehingga pagi.

Pagi menjelma, kami kembali meneruskan pancingan apollo mengejar umpan tamban hidup. Alhamdulillah tidak mengecewakan. Hampir-hampir 50 ekor tamban berjaya dipancing.

Pancingan dasar masih lagi sunyi. Tiada sentapan penghuni dasar. Aku sangat kehairanan dan kebosanan menanti.

Agak-agak dalam tengah hari, pancingan direntap masih tidak sempat aku menyentap balas. Ikan terlepas. Tidak mengapa. Aku memasang umpan kembali dan melontar di lokasi sama.Alhamdulillah, ikan sebelah seperti kisah Nabi Musa, didaratkan. Rezeki laut stim.

Kami turut mengaut rezeki melalui pancingan apollo. Alhamdulillah, hasilnya 4 ekor anak talang dan 1 ekor cencaru berjaya ditangkap. Sungguh mengujakan buat trip kali ini.kawanku terlepas anak ikan barracuda dek ketajaman giginya memutuskan perambut apollo.

Jam 2 ptg, kami pulang ke darat. Trip apollo berjaya.