Wednesday, 31 August 2016

Kelong Nazri Bagan Lalang , Kawan Baru Tanpa Sangka

Aku tekad hujung minggu tersebut untuk naik ke kelong bagan lalang. Dengan harapan menggunung ingin menjerat penghuni dasar yang bisa memecahkan rekod peribadi setakat ini.

Umpan yang aku sediakan ialah perumpun(tempah pada tuan kelong), udang hidup(dibeli di pekan sg pelek) dan ikan hidup(apollo di kelong).

Modal untuk trip kali ni dikira agak b3sar buat aku seorang. Aku gagahkan diri membeli seberapa banyak apollo untuk memudahkan pencarian umpan hidup(apollo kertas) dan kolam untuk memanjangkan umur umpan hidup. Tips daripada kawanku, tamban akan hidup lebih lama dalam kolam. Terbukti semasa trip bersama kawan-kawanku menduga nasib di bawah jambatan pertama Pulau Pinang.

Awal dalam kol 10.30 pagi aku sudah menunggu di jeti bersama seorang lagi pemancing. Lagaknya seumpama pemancing berpengalaman. Hasil sekilas pandang pada peralatan memancing yang dibawa.Bolehlah dijadikan teman memancing dan kawan baru. 1 trip 1 kawan baru. Lebih kurang jam 11 pagi, bot bergerak dan menuju ke kelong.

Tatkala sampai di kelong, kelihatan 1 kumpulan pemancing sudah bersedia untuk pulang. Rezeki kami untuk mancing sepuasnya sementara menunggu petang kerana dimaklumkan akan ada beberapa kumpulan pemancing lain yang akan bermalam bersama di atas kelong.

Saat kami tiba di kelong, air laut sedang gerak pasang. Hujung minggu ini air masih dalam keadaan pasang kecil, masih sesuai untuk memancing dengan tenang. Segala peralatan disediakan. Terutamanya kolam untuk umpan hidup. Letih jugak kalau datang seorang bilamana terpaksa mengangkut air laut dari tangga ke atas untuk memenuhkan kolam.

Berbekalkan umpan yang sedia ada iaitu perumpun dan udang hidup, aku melontar beberapa joran. Moga-moga ada penghuni dasar yang sudi meragut umpan. Pada masa yang sama, aku bersungguh mencari tamban menggunakan mata apollo. Dukacitanya, tamban agak kurang berbanding sebelum ini. Cuma ada beberapa ketika mata apollo ku diragut kuat sehingga putus.
Terpaksa la menggunakan beberapa apollo untuk terus mencari umpan hidup. Maklumlah kekuatan perambut apollo jualan di kedai sangat lemah. Baru 15 ke 20 paun.Tidak mengapa bukan rezeki.

Sampai ke petang, ragutan ikan sangat hambar. Hanya kawan baruku yang berjaya menaikkan ikan sebelah. Aku, hanya menaikkan anak talang menggunakan perambut apollo. Saja layan.

Sehingga petang, dalam waktu senja, en faris penjaga kelong mengajar aku dan rakanku mencari anak tenggiri. Mudah. Pelampung dan perambut setengah depa berumpankan hirisan tamban. Baling di lokasi anak ikan berkumpul. Teknik ni hanya boleh digunakan ketika hari masih cerah. Rezeki kami 10 ekor anak tenggiri , 1 ekor ikan todak. Katanya todak sedap, isinya lembut.

Apabila malam, keadaan lagi suram dan muram. Aku hanya mengisi masa berehat sepenuhnya. Recharge the energy.

Keesokan pagi, aku teruskan mencari anak tenggiri. Rezekiku beroleh tambahan 2 ekor. Pancingan dasar hanya diragut anak gelama serta anak gerut.

Tengah hari ahad baru aku pulang ke darat. New knowledge, new friend, new experience. Yang penting, SYUKUR dengan rezeki kurniaan Tuhan.




Friday, 5 August 2016

Rumah Rakit Wak Kadir, Sg Kembong

Raya menjelma, Alhamdulillah, bolehlah kembali aku memancing di siang hari. Jika kehausan, boleh meneguk air menghilangkan dahaga. Jika kelaparan, boleh menjamah makanan agar perut tidak berbunyi.

Trip kali ni sebagai trip mencari lauk. Matlamat utama semestinya memperoleh gelama sebanyak mungkin. Buat bekalan makan mengharungi penghabisan bulan sebelum tarikh gaji.

Aku naik agak lambat dek kawanku mempunyai urusan untuk diselesaikan sehingga tengah malam. Terlelap aku sementara menunggu panggilan.

Sesampai di rumah rakit, sudah ada pemancing lain yang turut datang mencuba nasib seperti kami. Kelihatannya mereka seakan pemancing profesional melalui pemerhatianku kepada set mancing dan ikatan perambut. Tidak mengapa, sambil berukhwah, sambil menambah ilmu.

4 joran yang aku pertaruhkan. Semestinya salah satunya menggunakan perambut apollo. Mudah memakainya untuk menambah laut tangkapan.

Malam itu, getuan ikan kurang menggalakkan. Tetapi, masih lagi ada yang sudi menjamah umpan yang dihidangkan. Beberapa anak gelama terjerat dengan matakail yang kami pasang.

Rezeki kumpulan pemancing yang satu lagi berjaya meragut gelama pisang. Besar juga lah untuk seekor gelama. Pertama kali juga melihat saiz gelama sebesar itu.

Sampai ke pagi, getuan ikan semakin berkurangan. Bila matahari mula naik dan persekitaran semakin mampu dilihat pandangan mata, tanpa getuan, pancing perambut apollo ku berjaya memerangkap 4 ekor ikan sekaligus. 2 ekor tetanda, 1 ekor daun baru, 1 ekor anak gelama. Muka sudah ada senyum. Sangat bersyukur dengan pemberian Tuhan.

Kami masih meneruskan aktiviti mancing. Pagi itu air surut dan pasang bila beransur petang. Anak-beranak berbangsa India pula mengambil giliran kumpulan pemancing semalam.

Tiba-tiba, joran rakanku, diragut kuat. Kuat juga tarikan ikan. Bila semakin hampir, dilihat seekor belukang, anggaran berat 1 kg berjaya dinaikkan. Pengajaran memasak spesis tersebut sebelum ini membuatkan aku memberikan ikan tersebut kepada pemancing India tersebut. Kata mereka sedap dimasak kari. Di luar bayangan aku melihat ikan tersebut dimasak kari. Biarlah mereka makan, rezeki mereka melalui tangkapan aku.

Ada juga beberapa kali, umpanku diragut tatkala arus bergerak laju. Namun, rabut dan ikan terlepas. Sudah bukan rezeki.

Pada waktu senja, baru aku dan rakan bergerak pulang. Hasil yang kurang kuantitinya tapi kami tetap berpuas hati. Tidak letakkan sasaran hasil yang besar. Cuma sekadar memenuhkan tong untuk dibuat lauk. Jarang sekali aku pulang kosong di rumah rakit en kadir.



]

Angler's Resort, Misi Pertama

Angler's Resort, Pulau Indah, Klang

Lama sudah menanti untuk mencuba nasib di lokasi. Terletak di hujung tanah Pulau Indah dikenali sebagai Pantai Acheh. Jalannya masih bertanah dan berpasir. Permukaan yang berlubang dan berlekuk menyukarkan kereta-kereta sedan untuk menuju ke lokasi.

Pertama kali ke sana ialah semasa pertama kali aku mula menceburkan diri memancing laut di Pelabuhan Klang. Hasil pencarian di internet disamping perkongsian pemancing yang ditemubual, maka berhasillah penemuan dan penambahan port memancing yang baru.

Port ini menarik dan memberi hasil lumayan sewaktu air pasang besar. Beberapa kali cemburu melihat koleksi tangkapan ikan siakap di Kedai Osmando. Apabila ditanya, semuanya hasil tangkapan di Jeti Angler's Resort.

Pada malam itu, merupakan penghujung Ramadhan. Dalam kepala, hanya dianggap trip percubaan. Manalah tahu barangkali ada rezeki beroleh siakap gergasi. Encik Osmando turut menyertai aku dan rakanku bermalam di jeti.

Yuran memancing di jeti berdasarkan bilangan joran yang dipasang. 1 joran dikenakan bayaran RM 5. Aku dan rakanku mempertaruhkan 4 joran. Lebih banyak lebih baik, lebih besar peluang beroleh hasil yang besar.

Nyata pengalaman En Osmando sebelum-sebelum ini memberikan kelebihan. Beliau orang pertama ketika itu yang menaikkan ikan tetanda beranggaran berat 500 g. Teruja dan tercengang seketika melihatkan tangkapan beliau. Boleh tahan besar saiznya.

Kemudian, suasana sunyi sehingga pancing perambut apollo aku berbunyi dan tersangkut seekor tetanda dan seterusnya sekali lagi menjerat seekor semilang. Rezeki di mata apollo. Comel pun comel la. Janji rezeki di bulan Ramadhan. Selepas itu, tiada sebarang ragutan ikan lanjut sehingga ke pagi.

Dikongsikan oleh pemancing lain, ikan-ikan besar akan rapat ke pantai berbatu bagi mencari isi tiram. Sebab itu saya sesuai memancing di jeti tersebut tatkala air pasang besar. Cuma perlu diingat, teknik balingan perlu mengikut arus agar tak sangkut disebabkan jika berlawanan, arus pasti menghanyutkan umpan dan batu ladung.

Next time, next trial. Mudah-mudahan tetanda sebesar itu milikku. Amin.

Hasil tangkapan En Osmando