Friday, 5 August 2016

Rumah Rakit Wak Kadir, Sg Kembong

Raya menjelma, Alhamdulillah, bolehlah kembali aku memancing di siang hari. Jika kehausan, boleh meneguk air menghilangkan dahaga. Jika kelaparan, boleh menjamah makanan agar perut tidak berbunyi.

Trip kali ni sebagai trip mencari lauk. Matlamat utama semestinya memperoleh gelama sebanyak mungkin. Buat bekalan makan mengharungi penghabisan bulan sebelum tarikh gaji.

Aku naik agak lambat dek kawanku mempunyai urusan untuk diselesaikan sehingga tengah malam. Terlelap aku sementara menunggu panggilan.

Sesampai di rumah rakit, sudah ada pemancing lain yang turut datang mencuba nasib seperti kami. Kelihatannya mereka seakan pemancing profesional melalui pemerhatianku kepada set mancing dan ikatan perambut. Tidak mengapa, sambil berukhwah, sambil menambah ilmu.

4 joran yang aku pertaruhkan. Semestinya salah satunya menggunakan perambut apollo. Mudah memakainya untuk menambah laut tangkapan.

Malam itu, getuan ikan kurang menggalakkan. Tetapi, masih lagi ada yang sudi menjamah umpan yang dihidangkan. Beberapa anak gelama terjerat dengan matakail yang kami pasang.

Rezeki kumpulan pemancing yang satu lagi berjaya meragut gelama pisang. Besar juga lah untuk seekor gelama. Pertama kali juga melihat saiz gelama sebesar itu.

Sampai ke pagi, getuan ikan semakin berkurangan. Bila matahari mula naik dan persekitaran semakin mampu dilihat pandangan mata, tanpa getuan, pancing perambut apollo ku berjaya memerangkap 4 ekor ikan sekaligus. 2 ekor tetanda, 1 ekor daun baru, 1 ekor anak gelama. Muka sudah ada senyum. Sangat bersyukur dengan pemberian Tuhan.

Kami masih meneruskan aktiviti mancing. Pagi itu air surut dan pasang bila beransur petang. Anak-beranak berbangsa India pula mengambil giliran kumpulan pemancing semalam.

Tiba-tiba, joran rakanku, diragut kuat. Kuat juga tarikan ikan. Bila semakin hampir, dilihat seekor belukang, anggaran berat 1 kg berjaya dinaikkan. Pengajaran memasak spesis tersebut sebelum ini membuatkan aku memberikan ikan tersebut kepada pemancing India tersebut. Kata mereka sedap dimasak kari. Di luar bayangan aku melihat ikan tersebut dimasak kari. Biarlah mereka makan, rezeki mereka melalui tangkapan aku.

Ada juga beberapa kali, umpanku diragut tatkala arus bergerak laju. Namun, rabut dan ikan terlepas. Sudah bukan rezeki.

Pada waktu senja, baru aku dan rakan bergerak pulang. Hasil yang kurang kuantitinya tapi kami tetap berpuas hati. Tidak letakkan sasaran hasil yang besar. Cuma sekadar memenuhkan tong untuk dibuat lauk. Jarang sekali aku pulang kosong di rumah rakit en kadir.



]

No comments:

Post a Comment