Sunday, 15 May 2016

Trip Kumpau di Lombong Puchong Perdana

Lama sudah tidak menduga lombong. Acap hujung minggu, pastu destinasiku ialah Pulau Indah, Klang. Tapi, berbeza ahad ini, aku cuma memendekkan tempoh dan jarak perjalanan, iaitu hanya ke Puchong.Sekali-sekala mencari hasil ikan darat. Selalunya aku akan pergi berseorangan, cuma untuk kali ini akan memberi pengenalan kepada 2 orang kawanku untuk merasai suasana memancing di lombong terutamanya di kawasan Lembah Klang kerana bukan mudah untuk menjumpai port lombong yang bersesuaian di kawasan ini. Alhamdulillah, aku menjumpai lombong tersebut hasil penerokaan aku seorang diri mencari-cari port memancing pada saat awalan aku tiba di Kuala Lumpur dahulu.

Selepas subuh, pada awal pagi lagi, kami sudah bertolak ke lombong. Perjalanan mengambil masa selama 40 minit. Tips aku buat pemancing andai ingin mengenal pasti sama ada sesuatu lombong itu masih dihuni ikan-ikan gergasi ataupun tidak, datanglah buat tinjauan pada awal pagi. Jika ada banyak kocakan di permukaan air, bolehlah mencuba nasib, tetapi andai tiada kocakan, boleh diusahakan mencari lubuk yang lain. Ini sekadar pengalaman.

Ternyata bila saat kami tiba di lokasi, sudah kelihatan kocakan air di lombong. Ada yang kecil serta ada juga yang besar. Mengikut kata-kata orang lain, lombong tersebut kaya dengan spesis ikan patin. Aku sendiri pernah melihat seorang pemancing warganegara Indonesia berjaya membawa naik ikan patin. Pelbagai percubaan telah aku aturkan, namun masih belum berjaya sehingga kini. Gagal.

Nasib kami dikira agak malang pada hari tersebut dek kerana air lombong meningkat naik hasil curahan hujan pada malam hari sebelumnya. Tempat untuk melabuhkan joran jugak terbatas. Namun, berbekalkan semangat serta umpan dedak harum semerbak yang telah disediakan, kami teruskan niat ingin memancing.

Ternyata, rezekiku untuk menculik penghuni lombong tersebut gagal. Tiada seekor ikan pun yang sudi menjamah umpan. Aku kira umpan yang sama turut aku gunakan semasa kecemerlanganku memancing di lombong-lombong semasa zaman belajar di perak dahulu. Begitu galak ikan yang meragut umpan. Kocakan ikan tetap mengasyikkan tetapi tiada yang sudi meragut umpan.

Kami menukar lokasi ke lombong yang berdekatan. Lombongnya pernah aku lintas tapi belum pernah diduga.Makanya, kami mencuba setelah mendapat maklumbalas ringkas daripada pemancing di situ. Ada spesis keli, rohu, tilapia dan patin. Namun, pemancing itu juga mengeluh kerana faktor cuaca dan air membuatkan ikan kurang galak meragut umpan.

Lama juga kami menunggu untuk ikan meragut umpan. Akhirnya, secara tiba-tiba, pancing disentap ikan. Tadaa....ikan tilapia merah. Kecil & comel. Jadilah, rezeki Tuhan untuk hari ni. Tak pernah dapat spesis tersebut sebelum ni, bolehlah buat lauk untuk rasa.

Dan, yang lebih mengujakan sebelum kami pulang, dengan keluasan lombong tersebut, tercetus idea oleh golongan tertentu untuk bermain kapal layar di tengah lombong. Seakan pakej terbaik pada lokasi berhampiran, tiupan angin yang kuat ditambah air beralun seakan ombak di pantai, memungkinkan aktiviti tersebut tampak begitu mengujakan. Nice idea, superb innovation.Brilliant activity on the weekend!!!




Thursday, 12 May 2016

Memancing di Rumah Rakit Sg Kembong, Pulau Indah

No contact
Wak Kadir : 019 2023979
CD  : 016 3730190
Kos : RM 35/ kepala untuk 12 jam


Kebetulan Isnin 2hb mei, cuti umum hari pekerja dianjak dari ahad 1 mei. Peluang menarik untuk memancing. Carta air pun menunjukkan 23hb which is tarikh yang dikira sesuai untuk memancing. Air dijangka air mati. Arus laut terutamanya di muara tidak kuat menyebabkan tiada keperluan menggunakan batu ladung bersaiz gergasi. Rezeki.

Survey punya survey, aku beroleh nombor Rumah Rakit Sungai Kembong di Pulau Indah, Klang. Bila ditanya, yuran agak mahal. RM35/kepala untuk 12 jam. Mahal jugak. Namun, kerana nekad, ku gagahkan jua.Mencuba nasib sekali sekala, apa salahnya.

Ahad pagi sebelum subuh, aku telah bergerak ke Sungai Kembung. Lebih dekat berbanding Bagan Lalang. Tidak sampai sejam, aku sudah tiba di jeti.

Selesai urusan membeli umpan udang hidup, aku dibawa ke rumah rakit. Kebetulan bila sampai, sudah ada 2 org pelancong Cina dari China sedang memancing. Bagai ayam dengan itik, masing-masing tidak dapat berbicara dalam bahasa yang sama. Gembira berjumpa, hampa tidak dapat bermesra.

Nice timing, aku berpeluang mendapat 1 cycle air pasang surut. Pasang sebelah pagi, surut sebelah ptg.

Ikan pertama dinaikkan anak gelama. Paling aku suka, gelama di sini akan besar juga. Berpeluang juga seekor anak ikan malong memakan umpan ku. Badannya licin berkilat berbanding bila besar, badan berwarna kuning.

Ikan galak semasa air pasang dan awal hendak surut. Bagiku berbaloi dengan duit yang aku belanjakan. 10 ekor gelama dan 1 ekor anak gerut. Trip x kumpau. Pengajaran lepas telah aku praktik. Kali ni, aku bawa ais bersama. So, ikan yang diperoleh masih segar sampai di rumah.

Jam 7 ptg bilamana sudah senja, aku pulang ke darat.

Memancing ni sangat menguji sabar.
Memancing ni sangat menguji keyakinan pada rezeki Tuhan.

Bersabar menunggu ikan memakan umpan.
Redha dengan rezeki yang diberi walaupun tidak menepati hasrat hati.











Ni kali lain. memang pesta gelama.








Wednesday, 11 May 2016

Memancing di Rumah Rakit Bagan Lalang

No contact Owner
Wak Nasir    :  019 2699924
Harga            :  RM 30 / kepala


Rabu terdetik aku untuk pergi mencuba nasib di rumah rakit. Sebelum daripada ini, sudah banyak rumah rakit yang ditinjau. Telok Gong Klang , Kelong Pozi Kuala Lukut, Kelong Greenway Pulau Ketam dan rumah rakit Bagan Lalang ni. So, keputusan diambil untuk cuba muara Sungai Sepang plak setelah bosan dengan hasil di Pulau Indah, Klang yang kurang memuaskan. Alhamdulillah, lepas kol, dimaklumkan ada kekosongan dan boleh menempah umpan( perumpun & udang hidup). Harga udang hidup adalah RM 0.70 per udang. Murah la jugak. Harga standard.

Sabtu tgh hari, aku dan 2 org kawanku bertolak ke jeti wak sempo. Kami akan menaiki bot di situ untuk ke rumah rakit.Perjalanan hampir 1 jam setengah diambil dari KL ke jeti wak sempo. Kena pandai-pandai jugak pilih jalan yang kurang tol untuk mengelakkan kos bertambah.

Sejurus sampai di jeti Wak Sempo, kami dibawa ke Rumah Rakit. Rumah Rakit yang dituju ialah yang lama kerana yang baru sudah dinaik dan ditempah orang lain. Sekali imbas nampak usang, dua kali imbas , sesuai la untuk memancing. Ada tandas, bekalan air bersih, dapur memasak, bekalan elektrik. Dinasihatkan untuk anak muda, bawa la laptop atau gajet yang bersesuaian agar tidak kebosanan menunggu cuitan ikan.

Peralatan mancing dipersiapkan. Mujur tali perambut sudah siap disediakan. Kerana saat kami sampai, air sudahpun mula beransur surut. Mengikut pengalaman, waktu air surut, air kurang memakan umpan.10 minit bersiap siaga, maka umpan pun dilontar ke tengah muara sg sepang. Harap-harap ada la ikan yang sudi menjamah umpan.

Namun hampa buatku. Walaupun aku yang melontar umpan dahulu, namun 2 orang kawanku yang terlebih dahulu menarik ikan. Gelama dan seekor ikan yang tidak dapat dikenal pasti spesisnya. Boleh la saiz yang naik. Asal x membangau dan kumpau seperti kebiasaan.

Bila malam hampir menjelma, bila ditarik pancingku, terasa berat. Terasa ikan sudah terjerat. Naiklah ikan pertamaku untuk trip kali ini. Gelama selebar 4 jari.Alhamdulillah syukur.

Tak lama lepas itu, aku ingin menarik pancing hujung yang berumpankan udang hidup. Bila ditarik, terasa berat. Tapi seingatku, loceng tidakpun berbunyi tadi. Bila ditarik, seekor ikan ala-ala ular , ikan malong anggaran berat 1kg, dibawa naik. Yezza, itulah spesies yang kami cari.

Seterusnya, aktiviti memancing sunyi sepi tanpa cuitan pada umpan. Kami terlelap dan tidur dalam teratak yang ada.

Pagi keesokan harinya, aktiviti memancing diteruskan. Namun, akibat cuaca yang mendung, cuitan ikan sangat kurang menggalakkan. Selang beberapa jam, hanya beberapa ekor ikan gelama yang dinaikkan. Bukan rezeki untuk dapat ikan besar.

Dalam lepas zohor, kami bersiap untuk pulang. Akibat kecuaian ku tidak membawa ais, hasil pancing kami menjadi busuk. Terpaksa dibuang. Nasib baik ada pemancing lain yang berkongsi rumah rakit ais. Peringatan buatku untuk trip-trip akan datang.

Tak kumpau , tak membangau, boleh lagi dicuba pada masa akan datang. Rumah Rakit Bagan Lalang checked!!!


Ikan Malong

Gelama

Hasil keseluruhan. ada yang terpaksa buang sebab dah busuk.(lupa bawa ais)

Tuesday, 3 May 2016

Pertandingan Memancing di Tasik Bandaran Kelana Jaya

Poster yang menggamit minat secara spontan. Hadiah tidak berapa lumayan namun minat atau perasaan ingin mencuba nasib atau beradu tuah badan membuat diri ingin menyertai pertandingan tersebut. Dikhabarkan penyertaan adalah seramai 500 orang. Terbayang di benak fikiran, bagaimana ingin memancing 500 orang di tasik yang kecil ini? Sudah terang lagi bersuluh akan sangkut dengan tali pemancing lain. Perkara yang sudah pasti ingin dihindari oleh para pemancing.

Aku pernah mencuba menyertai pertandingan memancing sebelum ini. 2 kali di UTP anjuran komiti Pesta Konvokesyen. 2 kali percubaan yang gagal. Pertama, hanya ikan kecil yang dinaikkan manakala yang kedua, hanya menunggu seperti bangau tanpa cuitan sebarang ikan.Aku berharap kali ini sinarnya makin cerah kerana sudah lama aku tidak mengunjungi lombong atau kolam air tawar untuk memancing. Hampir-hampir 4 ke 5 bulan semenjak terjebak dengan pemancingan air masin.

Umpan yang ringkas sahaja yang aku pertaruhkan kali ini. Roti gardenia bercampur umpan ulong berperisa pandan. Tidak sempat untuk menyediakan ramuan yang lebih lengkap dek kekangan kerja di pejabat.

Pagi sesudah solat subuh, kami terus bergerak ke lokasi pertandingan. Darang awal dengan harapan rezeki lepas subuh tidak terhalang di samping semangat membuak-buak ingin memiliki hadiah tempat pertama tunai RM3000.

Perkara pertama, beramah mesra dengan orang kanan dan kiri. Tujuannya, agar sebarang masalah semasa memancing nanti seperti silang tali mudah diselesaikan. Mujur Alhamdulillah, pemancing kiri dan kanan mesra. Halangan pertama berjaya diselesaikan.

Tepat jam 8.30 pagi, pertandingan bermula. Berterbangan tali-tali pancing ke dalam tasik. Ada pancing pantai, ada tepi tebing, ada yang atas bukit. Mana mungkin boleh mancing dengan selesa dalam situasi sebegini. Menyesal dah tak berguna. Mungkin next time, boleh pertimbang balik keluasan tasik untuk disertai sama ada terlalu padat atau tidak.

Setengah hari tanpa sebarang cuitan ikan. Hambar dan mengecewakan. Tapi, sekurangnya aku dapat merasa situasi pertandingan memancing di ibu kota kuala lumpur. Dengarnya, pertandingan akan dijalankan secara pusingan bagi setiap taman tasik yang ada di sekitar Kuala Lumpur.

Membangau dan kumpau.