Sunday, 15 May 2016

Trip Kumpau di Lombong Puchong Perdana

Lama sudah tidak menduga lombong. Acap hujung minggu, pastu destinasiku ialah Pulau Indah, Klang. Tapi, berbeza ahad ini, aku cuma memendekkan tempoh dan jarak perjalanan, iaitu hanya ke Puchong.Sekali-sekala mencari hasil ikan darat. Selalunya aku akan pergi berseorangan, cuma untuk kali ini akan memberi pengenalan kepada 2 orang kawanku untuk merasai suasana memancing di lombong terutamanya di kawasan Lembah Klang kerana bukan mudah untuk menjumpai port lombong yang bersesuaian di kawasan ini. Alhamdulillah, aku menjumpai lombong tersebut hasil penerokaan aku seorang diri mencari-cari port memancing pada saat awalan aku tiba di Kuala Lumpur dahulu.

Selepas subuh, pada awal pagi lagi, kami sudah bertolak ke lombong. Perjalanan mengambil masa selama 40 minit. Tips aku buat pemancing andai ingin mengenal pasti sama ada sesuatu lombong itu masih dihuni ikan-ikan gergasi ataupun tidak, datanglah buat tinjauan pada awal pagi. Jika ada banyak kocakan di permukaan air, bolehlah mencuba nasib, tetapi andai tiada kocakan, boleh diusahakan mencari lubuk yang lain. Ini sekadar pengalaman.

Ternyata bila saat kami tiba di lokasi, sudah kelihatan kocakan air di lombong. Ada yang kecil serta ada juga yang besar. Mengikut kata-kata orang lain, lombong tersebut kaya dengan spesis ikan patin. Aku sendiri pernah melihat seorang pemancing warganegara Indonesia berjaya membawa naik ikan patin. Pelbagai percubaan telah aku aturkan, namun masih belum berjaya sehingga kini. Gagal.

Nasib kami dikira agak malang pada hari tersebut dek kerana air lombong meningkat naik hasil curahan hujan pada malam hari sebelumnya. Tempat untuk melabuhkan joran jugak terbatas. Namun, berbekalkan semangat serta umpan dedak harum semerbak yang telah disediakan, kami teruskan niat ingin memancing.

Ternyata, rezekiku untuk menculik penghuni lombong tersebut gagal. Tiada seekor ikan pun yang sudi menjamah umpan. Aku kira umpan yang sama turut aku gunakan semasa kecemerlanganku memancing di lombong-lombong semasa zaman belajar di perak dahulu. Begitu galak ikan yang meragut umpan. Kocakan ikan tetap mengasyikkan tetapi tiada yang sudi meragut umpan.

Kami menukar lokasi ke lombong yang berdekatan. Lombongnya pernah aku lintas tapi belum pernah diduga.Makanya, kami mencuba setelah mendapat maklumbalas ringkas daripada pemancing di situ. Ada spesis keli, rohu, tilapia dan patin. Namun, pemancing itu juga mengeluh kerana faktor cuaca dan air membuatkan ikan kurang galak meragut umpan.

Lama juga kami menunggu untuk ikan meragut umpan. Akhirnya, secara tiba-tiba, pancing disentap ikan. Tadaa....ikan tilapia merah. Kecil & comel. Jadilah, rezeki Tuhan untuk hari ni. Tak pernah dapat spesis tersebut sebelum ni, bolehlah buat lauk untuk rasa.

Dan, yang lebih mengujakan sebelum kami pulang, dengan keluasan lombong tersebut, tercetus idea oleh golongan tertentu untuk bermain kapal layar di tengah lombong. Seakan pakej terbaik pada lokasi berhampiran, tiupan angin yang kuat ditambah air beralun seakan ombak di pantai, memungkinkan aktiviti tersebut tampak begitu mengujakan. Nice idea, superb innovation.Brilliant activity on the weekend!!!




2 comments:

  1. Lombong kat Puchong perdana.

    1 di belakang seroja apartment
    1 lg berdekatan D’saville lake.

    ReplyDelete